Wednesday, February 18, 2009

isu pendidikan:ppsmi

PPSMI tidak perlu dipolitikkan: Alimuddin

PASIR PUTEH: Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak perlu dipolitikkan kerana ia boleh menjejaskan pendidikan nasional, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata isu itu sebaiknya diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Kabinet untuk membuat keputusan.

"Hishammuddin akan membawa perkara itu ke Kabinet untuk dibincangkan secara panjang lebar sebelum memberi keputusan mengenainya," katanya.

Alimuddin ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dan pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut, Mohd Amirul Hakim Mohd Afandi, yang cedera akibat dilibas dengan lawi ayam oleh pelajar tingkatan 4 sekolah itu, Wan Mohd Alias Wan Taib, di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pihak seharusnya bersabar kerana dasar PPSMI perlu diteliti dengan sebaik mungkin sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kita mesti lihat bidang pendidikan untuk anak dan cucu kita pada masa depan," katanya. - Bernama





rencana@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 13 Feb. – Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) mendedahkan 625,987 murid tidak menjawab kertas soalan dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu.
Pengerusinya, Datuk Dr. Hassan Ahmad (gambar) berkata, keputusan UPSR tahun lalu menunjukkan hanya 159,234 murid daripada 511,875 murid tahun enam menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris manakala 352,641 murid menjawab dalam bahasa Melayu sejak pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
‘‘Bagi Matematik pula, 238,153 murid daripada 511,499 yang menduduki peperiksaan itu menjawab dalam bahasa Inggeris manakala 273,346 menjawab dalam bahasa Melayu.
‘‘Ia menunjukkan seramai 625,987 murid tidak memahami untuk menjawab Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,’’ katanya kepada pemberita di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) di sini semalam.
Selain itu, beliau berkata, kajian juga telah dilakukan oleh pasukan penyelidik yang terdiri daripada 50 pensyarah dari tujuh buah universiti dalam negara.
Katanya, kajian yang dibuat terletak di bawah penyeliaan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).
Menurutnya, hasil kajian menunjukkan beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar gagal mata pelajaran Sains dan Matematik melebihi 50 peratus.
Tambahnya, sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga menunjukkan kejatuhan bagi pelajar Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.
‘‘Kajian yang dibuat di 70 buah sekolah menengah dan 90 buah sekolah rendah di seluruh negara juga menunjukkan berlakunya kemerosotan dalam mata pelajaran tersebut.
‘‘Ia menunjukkan PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar,’’ katanya
Menurut Hassan, ia jelas menunjukkan PPSMI gagal memberi manfaat kepada pelajar sebaliknya membebankan pelajar.
Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk Bahasa Inggeris di setiap sekolah.
Tambahnya, wakil kerajaan perlu ke sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar untuk memantau sistem yang digunakan dalam P&P bahasa tersebut.
‘‘Sistem P&P untuk Bahasa Inggeris perlu diubah dan diperkemaskan terlebih dahulu supaya menjadi bahasa kedua yang dikuasai pelajar bukannya mengajar bahasa tersebut dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
‘‘Selain itu, jadikan negara-negara Eropah sebagai model di mana mereka mengajar mata pelajaran tersebut dalam bahasa ibunda, tetapi menggalakkan pelajarnya menguasai pelbagai bahasa,’’ katanya.

malaysiakini.com


PPSMI cetus perbahasan hangat di Parlimen
Feb 18, 09 8:59pm
Soal untuk meneruskan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mencetuskan perbahasan hangat di Dewan Rakyat hari ini apabila beberapa wakil rakyat mengemukakan pandangan berbeza berhubung pelaksanaannya.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyokong supaya PPSMI diteruskan berkata ia mampu meningkatkan kemahiran dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di kawasannya.
Katanya PPSMI juga disokong oleh penduduk di kawasannya, lapor Bernama.

"Kelmarin, saya sedih dan kecewa serta merasakan wakil rakyat sudah tidak selamat dalam Dewan ini. Saya dikepung, disergah dan dikatakan kurang ajar oleh seorang yang bertaraf ustaz yang meminta saya menarik balik kata-kata saya mengenai PPSMI.

"Saya cuma cakap apa orang-orang di kawasan saya beritahu. Di Kinabatangan, tidak ada pusat tuisyen bahasa Inggeris dan PPSMI perlu dikekalkan kerana ia menjadi satu cara anak-anak di tempat saya mahir dalam bahasa Inggeris," katanya apabila membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai) yang mencelah membantah pelaksanaan PPSMI kerana ia tidak mencapai matlamat membantu pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris.

"Sains dan Matematik adalah dua subjek yang terikat dengan istilah-istilah sendiri. Dulu kita belajar bahasa Inggeris dalam bahasa tersebut dan menjadi hujah kita ialah PPSMI tidak mencapai matlamat," katanya.

Menyokong pandangan Bung Moktar, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata penentangan terhadap dasar itu adalah satu sindrom penafian yang tidak melihat matlamat di sebaliknya.

Katanya pelaksanaan PPSMI boleh membantu meluaskan ilmu pengetahuan memandangkan kebanyakan bahan rujukan kedua-dua subjek dan istilah yang digunakan oleh subjek tersebut ialah dalam Bahasa Inggeris.

"Dengan sebab itu pentingnya PPSMI bukan kerana bahasa Inggeris tetapi untuk menuntut ilmu," katanya.

Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) berkata secara peribadi beliau tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI dan berpendapat ia (pembelajaran dan pengajaran subjek berkenaan) perlu dikembalikan ke dalam bahasa Melayu.

Datuk Seri Hadi Awang (PAS-Marang) pula berkata beberapa kajian oleh institusi-institusi pengajian tinggi tempatan menunjukkan pelaksanaan PPSMI untuk mengilmukan rakyat adalah tidak berjaya dan tidak mendatangkan manfaat khasnya kepada pelajar di luar bandar.


shamizan_09

No comments:

Post a Comment